Membuat pilihan merupakan satu tugas yang tidak kurang beratnya. Ia memerlukan fikiran yang dalam dan luas apatah lagi sekiranya keputusan yang bakal dibuat itu melibatkan masa depan kita. Lazimnya kita akan memperuntukkan satu tempoh masa yang agak panjang untuk berfikir.
Sebagai seorang pelajar, apabila kita hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, kita berdepan dengan pilihan tentang jurusan apa yang hendak diceburi, universiti mana yang hendak dipilih dan sebagainya. Selepas tamat pengajian, kita berdepan pula dengan pilihan tentang kerjaya mana yang hendak diceburi. Malah kita juga dihadapkan dengan pilihan apabila hendak memilih teman hidup!
Dalam menghadapi situasi tersebut, kepada siapakah kita meminta pertolongan?. Lazimnya kita akan berbincang dengan ahli keluarga, rakan-rakan malah mungkin guru-guru dan kalau di gereja, kita boleh mendapatkan pendapat para penatua. Namun yang terutama ialah memandang kepada Yesus sebagai Terang kehidupan kita. Hanya di dalam terangNya kita dapat melihat jalan (pilihan) yang harus kita ambil.
Seorang rakan pernah mengongsikan sajak yang antara kandungannya mengatakan 'If everything fail, try Jesus'. Ia merupakan sajak yang sangat mendorong namun kelihatannya Yesus menjadi pilihan terakhir kita. Hanya setelah segala jalan lain gagal, barulah kita memandang kepada Yesus. Yesus sepatutnya menjadi yang terutama di dalam kehidupan kita kerana kita diminta untuk 'mencari dahulu Kerajaan Allah dan kebenaranNya'. Jadi, dimanakah tempat Yesus di dalam kehidupan kita?.
Mengutamakan Yesus bermakna menyerahkan segala aspek kehidupan kita kepadaNya. Tidak kira sebesar mana keputusan yang hendak kita ambil, kita harus serahkan itu kepada Tuhan Yesus kerana Dialah yang menentukan segalanya. Saya belajar menyerahkan segala sesuatu kepada Tuhan semenjak zaman persekolahan lagi. Memandangkan saya bersekolah di sekolah berasrama dan agak jauh dari keluarga, maka saya selalu merindukan keluarga saya. Ketika itu, ada persekutuan pelajar-pelajar Kristian di sekolah tersebut. Melalui persekutuan itulah saya beroleh penghiburan dan saya diminta Tuhan untuk menyerahkan segala sesuatu kepadaNya.
Akan tetapi, saya hanya memandang kepada Tuhan apabila beban atau pilihan yang perlu dibuat itu tidak mampu saya tangani. Sebagai contoh, apabila musim peperikasaan, saya akan berdoa dengan lebih tekun tetapi tidak ketika bukan musim peperiksaan. Apabila menghadapi masalah kewangan, saya berseru kepada Tuhan tetapi tidak ketika keadaan sebaliknya. Tuhan menegur saya dengan caranya sendiri. Suatu ketika, saya hendak membeli sehelai baju kemeja. lalu saya menjelajah dari satu pusat membeli-belah ke pusat membeli-belah yang lain. Selepas kepenatan, saya berjaya membeli baju yang saya rasa sesuai. Apabila sampai di asrama, saya mencuba semula baju tersebut. Alangkah terkejutnya saya kerana saya dapati baju tersebut sangat tidak sesuai. Saya merasa sangat menyesal tetapi tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana duit yang ada sudah dibelanjakan. Dalam keadaan sedih dan penuh kesalan itu, saya datang kepada Tuhan dan Tuhan menegur saya kerana tidak terlebih dahulu memandang kepadaNya. Tuhan menegur saya agar sentiasa mengutamakan Dia walaupun dalam perkara yang kecil seperti membeli pakaian.
Selepas beberapa tahun, apabila sudah bekerja, saya dihadapkan dengan situasi yang serupa. Tanpa berdoa kepada Tuhan, saya membeli pakaian yang diperlukan untuk pekerjaan saya. Mulanya terlalu sukar untuk saya membuat pilihan kerana ternyata pakaian tersebut terdapat dalam pelbagai warna, corak dan jenama. Selepas menghabiskan hampir sejam dalam keadaan bingung (untuk memilih!) saya membeli juga pakaian tersebut. Sebaik sampai di rumah, hal yang pernah saya alami terjadi lagi. Pakaian tersebut kelihatan sangat janggal! Saya ditegur Tuhan lagi kerana tidak meminta Dia membantu saya. Dengan kesalan saya berdoa dan meminta Tuhan mengampuni saya. Saya meminta Tuhan menolong saya agar saya dapat mencari pakaian yang sesuai. Keesokan harinya, saya mencari lagi pakaian tersebut dan dengan pimpinan Tuhan saya ditunjukkan pakaian yang sesuai.
Situasi sebegini mungkin merupakan suatu yang sangat biasa namun dalm keadaan biasa sebeginilah kita sering lali dan lupa untuk meminta pertolongan Tuhan. Kita beranggapan yang kita miliki kekuatan untuk menanganinya sedangkan tanpa 'Tuhan segala sesuatu adalah sia-sia'. Berat atau ringan, kecil atau besar perkara yang kita hadapi, 'kita tahu bahawa Tuhan turut sama bekerja dalam semuanya itu untuk kebaikan kita' tetapi kita harus berjalan di jalan Tuhan dan mengizinkan Tuhan bekerja. Bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln, semasa Perang Dingin di Amerika Syarikat pernah berkata yang bermaksud 'Saya tahu Tuhan sentiasa berada di pihak yang benar, tetapi apa yang saya risau ialah adakah kita sentiasa berada di pihak Tuhan'...Adakah kita di pihak Tuhan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment