Pada suatu ketika, Yesus dan murid-muridNya berada di pergunungan. Ramai orang yang mengikuti Dia kerana mahu mendengar ajaranNya. Apabila hari sudah lanjut, orang ramai itu mula keletihan dan kelaparan. Namun kerana tempat di mana mereka berada itu agak terpencil, murid-murid Yesus mula risau bagaimana untuk mencari makanan agar dapat diberikan kepada orang ramai yang besar jumlahnya itu.
Menurut Alkitab, jumlah orang yang ada di situ pada waktu itu ialah 5 ribu orang laki-laki. Belum termasuk perempuan dan kanak-kanak. Kalau dicongak-congak, 5 ribu orang itu boleh memenuhi satu padang bola sepak...malah mungkin tidak cukup untuk menampung jumlah itu. Kalau pada masa sekarang, satu majlis perkahwinan yang dihadiri oleh 5 ribu tetamu, majlis itu sudah amat besar....
Murid-murid Yesus mencari- cari jalan untuk mendapatkan makanan dan apa yang mereka temui hanyalah seorang budak yang membawa bekal 5 roti dan 2 ikan. Bekalan sebegitu hanya cukup untuk keperluan budak itu sahaja!. Bayangkan kalau anda adalah budak itu. Anda membawa bekal dari rumah untuk keperluan sendiri buat sepanjang hari itu. Tiba-tiba ada pula orang meminta bekal anda itu. Apa reaksi anda? Budak itu sendiri pun pastinya keletihan dan kelaparan. Tapi bila bekalan makanannya diambil, kira-kira bagaimana perasaannya?
Tidak pula diceritakan di dalam Alkitab sama ada budak itu menolak semasa murid-murid Tuhan meminta bekalan makanannya, tapi yang pasti bekalan 5 roti dan 2 ikan itu dibawa oleh murid-murid Yesus kepada Yesus. Apa yang terjadi seterusnya?
Yesus memberkati makanan itu dan membahagikannya kepada orang yang ramai itu. Mereka semua makan hingga kenyang termasuklah budak itu sendiri. Dan ada lagi pula baki makanan sebanyak 12 bakul...Kira-kira kalau budak itu makan sendiri bekalannya itu, adakah dia akan kenyang sebegitu?.Mungkin juga tapi bakinya tiada.
Kalau pada hari ini, kita hanya ada 5 roti dan 2 ikan, tiba-tiba Tuhan minta semuanya itu....apakah reaksi kita? Sedangkan kita sendiri pun amat memerlukan 5 roti dan 2 ikan itu.
Mungkin kita berkata, "Tuhan, saya bagi 4 roti dan 1 ikan saja dulu sebab saya perlukan yang selebihnya untuk saya".
Atau "Tuhan, macam mana saya mau bagi ni..ini saja yang saya ada..saya pun perlu juga?"
Budak itu mengajar kita untuk memberi apabila Tuhan minta kerana Tuhan ada rencana untuk hal itu. Semasa Tuhan minta bekal budak itu, dia sendiri pun tidak tahu kenapa. Yesus tidak memberitahu apa yang Dia mahu lakukan. Namun budak itu menurut dan memperolehi berkat yang berlimpah-limpah malah dapat memberkati lebih 5 ribu orang yang lain.
Kalau hari ini Tuhan minta kita memberi apa yang ada pada kita, walaupun pada zahirnya adalah sedikit, berilah sebagaimana budak itu memberi kerana Tuhan akan memberkati kita dan orang-orang lain di luar sana melalui pemberian itu. Mungkin tidak sampai 5 ribu orang jumlahnya tapi yang pasti akan ada orang yang diberkati. Melalui pemberian itu kita juga akan diberkati sehingga kenyang malah berlimpah-limpah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment