Yusuf merupakan salah satu daripada watak Alkitab yang sangat menarik. Beliau dikatakan seorang pemuda yang baik rupa paras dan mulia budi pekerti. Belaiu juga merupakan anak kesayangan kedua ibu dan bapanya. Namun demikian, Yusuf dibenci oleh adik beradiknya kerana rasa dengki dan iri hati.
Kesudahannya Yusuf dijual ke Mesir sebagai hamba oleh saudara-saudaranya sendiri. Di Mesir, Yusuf mulanya menjadi hamba kepada seorang pegawai kerajaan namun akhirnya dihumban ke dalam penjara kerana sikap jujurnya. Perbuatan-perbuatan baik Yusuf dibalas dengan nasib malang yang bertukar ganti. Dimarahi saudara-saudaranya, dibuang ke dalam perigi, dijual sebagai hamba dan akhirnya meringkuk di dalam penjara....
Akan tetapi dalam mengharungi pergolakan yang silih berganti itu Yusuf tidak pernah merungut. Dia tetap percaya dan berharap kepada Tuhan. Persoalannya: Apakah tindakan Yusuf? Sering kali orang berkata "Tunggu dan lihat saja la...Tuhan pasti akan menolong kita"...Benar dan memang benar. Tuhan akan menolong. Itu suatu yang pasti. Namun tidaklah bermaksud yang kita hanya perlu 'tunggu dan lihat' tanpa mengambil sebarang tindakan yang wajar....
Ketika dipenjara, Yusuf menterjemahkan erti mimpi dua orang pegawai istana Firaun. Kepada salah seorang daripada mereka Yusuf berkata "Tetapi, ingatlah kepadaku, apabila keadaanmu telah baik nanti, tunjukkanlah terima kasihmu kepadaku dengan menceritakan hal ihwalku kepada Firaun dan tolonglah keluarkan aku dari rumah ini.
Sebab aku dicuri diculik begitu saja dari negeri orang Ibrani dan di sinipun aku tidak pernah melakukan apa-apa yang menyebabkan aku layak dimasukkan ke dalam liang tutupan ini. (Kejadian 40:14-15)"....Yusuf mencari jalan untuk keluar dari penjara itu.! Dia tahu yang Tuhan pasti akan menolong dia tapi dia mencari jalan..kalau-kalau jalan itu yang ditunjukkan Tuhan....
Tapi itu tidak berlaku. Pegawai istana itu melupakan Yusuf. Hanya setelah lewat dua tahun dari itu, barulah Yusuf dikeluarkan dari penjara...Tidak salah berenang ke tepian dan menjerit minta tolong andainya kita sedang lemas. Memang Tuhan akan tolong kalau kita sedang lemas, itu pasti. Tapi berteriak minta tolong sambil cuba berenang itu juga bukan bertentangan dengan kehendak Tuhan.
Tuhan akan melindungi kita dan segala milik kita sentiasa. Itu pasti. Tapi tidak salah memasang pagar dan alat penggera keselamatan di rumah untuk melindungi kita. Tuhan pasti tahu kalau-kalau pagar dan alat penggera itu mahu digunakanNya sebagai jalan untuk melindungi kita. Kalau kita sedang sakit, pasti Tuhan akan menyembuhkan. Namun tidak salah untuk membuat usaha untuk mencari rawatan. Kalau-kalau rawatan yang kita cari itu merupakan jalan Tuhan untuk menyembuhkan kita. Lihat saja Yusuf. Ternyata akhirnya pegawai istana itu jugalah yang dipakai Tuhan sebagai jalan untuk mengeluarkan Yusuf dari penjara.
Andai hari ini kita dalam kesulitan, percayalah,berdoalah dan berusahalah kerana Tuhan pasti akan membuka jalan penyelesaian. Akan tetapi masa dan saatnya pertolongan itu tiba hanya Dia yang tahu. Amen.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment