Dalam amanat agungNya, Yesus menyuruh murid-muridNya agar 'pergi ke seluruh dunia, jadikanlah segala bangsa muridKu dan baptislah mereka dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus...'.
Sebagai orang yang percaya Yesus, kita juga menjadi murid Kristus. Sebagai murid Kristus, amanat agung ini adalah untuk kita. Kita diamanahkan untuk melaksanakan amanat ini. Jadi kita harus 'pergi...jadikan....dan baptis mereka....'. Tugas ini bukan dipertanggungjawabkan kepada seorang individu sahaja tetapi kepada semua murid Kristus. Paulus mengatakan dalam suratnya, 'ada yang menjadi tangan, ada yang menjadi kaki...ada yang bernubuat, ada yang mentafsirkan mimpi, ada yang diberi karunia untuk berkhotbah' dan banyak lagi karunia yang berbeza-beza.
Dalam kebaktian Ahad kelmarin, gereja kami dikunjungi oleh sukarelawan dari kapal MV Dolous. Mereka ini menjadi sukarelawan sebagai hamba Tuhan dengan melayani melalui pelayanan bersama-sama dengan kapal MV Dolous. Firman Tuhan dalam kebaktian tersebut pula dibawakan oleh rombongan dari Gideon International, satu pergerakan Kristian antarabangsa yang memberi fokus kepada penyampaian firman Tuhan kepada semua bangsa. Saya percaya di luar sana ada banyak lagi persatuan, pertubuhan, institusi dan sebagainya yang bergerak dengan satu tujuan iaitu untuk mencapai jiwa-jiwa untuk Tuhan. Namun adakah semua murid Tuhan perlu mengambil bahagian dalam pertubuhan atau gerakan sebegitu?
Saya melihat mereka yang terlibat dalam pelayanan sepenuh masa, penginjilan dan sebagainya ini merupakan mereka yang diberi karunia dan hikmat untuk melayani dalam bentuk sebegitu. Ada antara kita yang tidak berkesempatan untuk turut serta dalam pelayanan sebegitu kerana kekangan tertentu namun kita mampu melayani dalam bentuk yang lain. Antaranya pelayanan di gereja, di tempat kerja malah di kalangan keluarga kita sendiri.
Malah pelayanan melalui doa merupakan pelayanan yang sangat dituntut. Doa yang sungguh-sungguh mampu menggoncang sorga dan menggerakkan gunung. Berdoa boleh dilakukan di mana-mana jua. Sama ada berdoa secara sendirian mahu pun secara berkumpulan, Tuhan akan mendengar doa itu. Doa mampu mengalahkan segala bentuk tentangan. Malah doa merupakan senjata yang paling afdal bagi jiwa manusia. Dan doa yang paling berkuasa adalah doa dalam nama Yesus Kristus. Sesiapapun boleh mengambil bahagian dalam pelayanan doa ini. Jadi berdoa untuk pelayanan dan penginjilan juga merupakan satu bentuk pelayanan kepada Tuhan apabila dilakukan dengan sepenuh hati dan dengan kerendahan.
Seorang ibu atau ayah yang tidak mampu terlibat dalam pelayanan sepenuh masa untuk menggapai jiwa-jiwa di luar sana boleh dipakai Tuhan dengan luar biasa untuk bersaksi kepada anak-anak dan ahli keluarganya yang lain. Malah tulisan-tulisan dalam majalah, surat khabar ataupun laman web boleh menjadi berkat buat ramai orang.
Kerana itu, gunakanlah segala hikmat dan bakat yang Tuhan berikan kepada kita untuk melayani Tuhan dan menggapai jiwa-jiwa untuk Tuhan. Melalui kesaksian kita, baik dalam perkataan mahu pun perbuatan, akan ada jiwa yang akan diberkati. Melalui kehidupan kita, Roh Tuhan akan bekerja di dalam kehidupan orang lain dan menggerakkan hati mereka untuk mengenal Tuhan. Maka Tuhan pasti akan mengirim hamba-hambaNya yang diberi karunia untuk menginjil kepada orang itu seterusnya memimpin mereka untuk menerima Yesus sebagai Tuhan dan Juruselamat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment